Sazalee Adam (kiri) turut berada di lokasi kejadian kelar yang membabitkan pasangan guru di Taman Tunas, Sungai Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
BALIK PULAU : Pasangan suami isteri yang dilaporkan cedera dalam satu kejadian kelar di Taman Tunas Muda, Sungai Ara di sini, awal pagi tadi disahkan sebagai pasangan guru yang mengajar di sebuah sekolah dalam daerah Barat Daya di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mereka tinggal bersama keluarga wanita terbabit serta mempunyai seorang anak perempuan yang berusia tiga tahun.
Katanya, kedua-dua mereka juga merupakan lulusan dalam bidang pengajian Bahasa Mandarin di sebuah institusi di Beijing, China.
“Kejadian itu berlaku sebelum Subuh selepas ibu kepada mangsa terdengar jeritan anaknya dari tingkat atas rumah dua tingkat yang mereka diami.
“Sebaik sahaja dia (ibu mangsa) naik ke atas, dia melihat suspek sedang menindih anaknya sambil cuba mengelar leher wanita itu dengan sebilah pisau.
“Dia kemudian segera menarik anaknya keluar dari situ dan sempat melihat suspek turut mengelar pergelangan tangan kiri dan lehernya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.
Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, wanita terbabit berdepan detik-detik cemas apabila nyaris maut selepas dikelar oleh suaminya, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Sazalee berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 28 tahun cedera di bahagian leher, namun, dilaporkan stabil.
Sementara itu, katanya, suspek iaitu suami mangsa yang berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan yang serius dan kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Pulau Pinang.
“Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemukan sebarang petunjuk bahawa pasangan itu menghadapi masalah rumah tangga, kewangan atau masalah kesihatan.
“Saksi yang ditemui juga mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa pasangan berkenaan sebelum ini hidup dalam suasana harmoni. Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.


































