SHAH ALAM: Polis mendapati siasatan pihaknya terhadap insiden seorang pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam tidak menunjukkan akibat kelakuan buli.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti situasi sebenar yang berlaku dan punca pelajar lelaki itu terjatuh.
Menurutnya, sehingga kini polis sudah pun mengambil keterangan beberapa individu termasuk pihak sekolah.
“Sehingga kini keterangan yang diperolehi serta siasatan yang dijalankan tidak memperlihatkan insiden tersebut adalah akibat kelakuan buli.
“Namun, siasatan masih berterusan bagi melihat pelbagai aspek lain juga bagi membantu memperolehi dapatan siasatan yang konklusif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Semalam, polis dilapor menyiasat secara terperinci kes seorang pelajar lelaki tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.
Shazeli ketika itu memberitahu, pihaknya mengesahkan menerima laporan kejadian itu semalam.
Terdahulu, seorang pelajar dilapor berada dalam keadaan kritikal selepas dikatakan menjadi mangsa buli di asrama.
Keputusan imbasan CT mendapati mangsa mengalami pendarahan pada otak selain rahang patah dan kecederaan paru-paru.
Susulan itu, keluarga tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sabak Bernam, kira-kira pukul 5 pagi tadi bagi tindakan lanjut.


































