Saifuddin Nasution Ismail ketika Siri Dialog Khas III PDRM yang dianjurkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, kelmarin.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 31,949 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun lalu dengan penahanan seramai 11,864 individu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tangkapan berkenaan hasil daripada 10,000 operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.
“Polis bukan sahaja bertindak melalui penguatkuasaan, malah proaktif dengan melaksanakan jangkaan strategik, kerjasama serantau serta kolaborasi awam-swasta.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa polis bukan sekadar agensi penguatkuasaan, tetapi juga sebuah institusi moden yang menggerakkan daya tahan negara,” katanya ketika berucap ketika Majlis Penutup Siri Dialog Khas III PDRM di Pusat Konvensyen Sime Darby, di sini, kelmarin.
Saifuddin berkata, pihaknya akan terus meningkatkan keupayaan dan kompetensi sebagai agensi penguatkuasaan utama negara.
“Salah satu langkah ke hadapan adalah penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha membanteras jenayah, khususnya jenayah siber.
“Kementerian komited untuk memperkukuh lagi pasukan polis melalui pemodenan infrastruktur, pengembangan kapasiti serta sokongan rentas sektor,” katanya.
Mengulas mengenai forum berkenaan, beliau berkata perbincangan memberi tumpuan kepada isu keselamatan negara yang kini tidak lagi terbatas kepada sempadan fizikal, sebaliknya turut merangkumi perlindungan data, kedaulatan digital dan kesedaran siber kolektif.
“Antara mesej utama yang diketengahkan ialah keperluan memperkukuh kerjasama antara agensi dalam menghadapi jenayah siber yang semakin kompleks.
“Penekanan turut diberikan kepada peranan JSJK yang berada di barisan hadapan memerangi jenayah komersial. Kepakaran mereka bukan sahaja melindungi ekonomi negara, malah meningkatkan keyakinan serta kepercayaan masyarakat,” katanya.


































