PETALING JAYA: Semua pemegang taruh daripada pelbagai sektor dijemput untuk memberi maklum balas terhadap Draf Laporan Akhir Kajian Pasaran mengenai Ekosistem Ekonomi Digital.
Menurut Utusan Malaysia, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam kenyataan berkata, kajian tersebut menganalisis secara menyeluruh lima bidang utama yang dikenal pasti sebagai pemacu penting kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi digital Malaysia.
“Bidang tersebut ialah sistem pengendalian mudah alih dan sistem pembayaran, e-dagang (pasaran runcit), pengiklanan digital atas talian, agensi pelancongan atas talian (OTA) serta privasi dan perlindungan data,” katanya
Menurut MyCC, kajian tersebut bertujuan mengenal pasti isu persaingan utama, cabaran struktur pasaran serta pertimbangan dasar penting bagi memperkukuh ekosistem ekonomi digital negara.
Tambahnya, MyCC telah membentangkan dapatan kajian pasaran yang menyeluruh selepas sesi konsultasi awam bersama pihak industri serta wakil kementerian dan agensi kerajaan.
“MyCC turut mengemukakan cadangan awal yang merangkumi aspek khusus dan umum yang menjadi asas pembangunan dasar masa hadapan ke arah ekosistem digital yang lebih adil, inovatif dan berdaya saing,” katanya.
Tambahnya, maklum balas pemegang taruh amat penting bagi memastikan rangka kerja yang dicadangkan mencerminkan pelbagai perspektif pengawal selia, pemain industri dan orang awam, sekali gus memperkukuh landskap ekonomi digital Malaysia.
Semua maklum balas perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada 14 September 2025 sebelum kajian dimuktamadkan pada Disember 2025.
Pihak yang berminat boleh mengakses Draf Laporan Akhir dan dokumen berkaitan melalui laman web rasmi MyCC di www.mycc.gov.my atau menghantar maklum balas melalui portal dalam talian yang selamat atau terus ke emel ced-digitalmr@mycc.gov.my


































