Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan kepada rakyat dibuat berdasarkan keperluan setiap kaum bagi menghapuskan polemik bahawa hanya masyarakat tertentu diberikan keutamaan.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, timbul dakwaan bahawa hanya kaum tertentu menerima bantuan kerajaan sedangkan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.
Sebagai contoh, katanya, bantuan kepada masyarakat Cina disalurkan melalui aktiviti perniagaan kerana golongan itu menguasai lebih 90 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Katanya, bagi sektor PMKS masyarakat Cina, kerajaan memberikan penumpuan manfaat jaminan mencecah RM13.9 billion selain jaminan kredit perumahan yang keseluruhannya sebanyak RM1.68 billion dan bantuan lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Hari ini saya ingin cerakinkan kerana nanti jadi isu. Bila kita sebut PuTERA35 atau Bumiputera dan yang lain kata tidak dapat. Kita sebut MITRA (Transformasi Masyarakat India), kata banyak sangat. Apakah kata kita ini pro-India? Tidak. Kita beri ikut keperluan.
“Macam STR, siapa yang memenuhi syarat, golongan yang disebut miskin tegar. Ada daerah, Melayu majoriti, ada daerah macam Sentul, India majoriti. Bukan perkiraan kaum. Semua yang layak dijamin dapat.
“Ini semua termasuk tapi kita tak masuk kata STR India, STR Cina. Ini kali pertama saya sebut sebab lelah dah hendak jawab. Saya tekankan STR dan SARA. Ada tanya ini semua untuk bumiputera, tak benar kerana masyarakat Cina di bawah kelompok yang miskin atau berpendapatan rendah itu masih ada,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, MITRA menerima bantuan sebanyak RM100 juta dengan 70 peratus atau RM70 juta daripadanya sudah pun digunakan bagi membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat India.
“Tetapi (bukan itu sahaja), sokongan pembiayaan perniagaan masyarakat India sudah RM600 juta. STR dan i-SARA juga sebanyak RM972 juta. Jadi jangan fikir RM100 juta sahaja,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri menasihatkan supaya polemik perkauman perlu dikurangkan bagi memajukan negara mendepani cabaran dunia masa kini.
Katanya, ia adalah bagi membendung timbulnya reaksi tidak sihat antara mana-mana kaum di negara yang sekali gus mengganggu-gugat keharmonian kaum.
“Jangan dengar celoteh-celoteh orang desperate (terdesak) dan bankrap sebab kalau naik isu kaum, kalau kuat kata kurang (bantuan kepada orang) India, akan menimbulkan dan mengundang reaksi daripada orang Melayu kerana orang Melayu majoriti di negara ini dan yang miskin majoritinya Melayu.
“Jadi sebab itu kita harus beri tumpuan. Kalau hendak minta kemudahan masyarakat India, silakan tapi janganlah katakan apa (orang) Melayu dapat.
“Saya sangat tidak senang dengan polemik sedemikian kerana ia memberikan satu gambaran seolah-olah orang Melayu itu sudah selesa, belum,” katanya.


































