Mohammad Syafiq Azmi (kiri) dan Awie Serah dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, Kluang, Johor selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun.
KLUANG: Dua lelaki didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah menjadi keldai akaun bagi sindiket pemerasan berunsur seks (sextortion) secara dalam talian ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Mohammad Syafiq Azmi, 30, dan Awie Serah, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Syafiq dan Awie didakwa secara tidak langsung terbabit dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM3,500 dan RM100 ke dalam akaun bank milik mereka tanpa tujuan sah.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Mengkibol 5/11, Kampung Mengkibol, Kluang pada 3 Januari lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh merayu diringankan hukuman kerana masing-masing mempunyai tanggungjawab menyara seorang anak dan isteri, selain mendakwa turut menjadi mangsa penipuan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Razli memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal agar dapat menjadi pengajaran kepada orang ramai serta kepentingan awam.
Mahkamah menetapkan hukuman denda RM10,000 atau tiga tahun penjara jika gagal membayar. Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.
Terdahulu, polis menahan dua lelaki selepas dipercayai bertindak sebagai keldai akaun bagi sindiket yang memperdaya seorang mangsa melalui aplikasi sosial Litmatch.


































