Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan menyasarkan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu termasuk 700,000 dalam sektor pembuatan dan 500,000 dalam ekonomi digital selaras usaha memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 95.6 peratus graduan TVET kini berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan dengan 212,000 kemasukan baharu direkodkan pada tahun lalu.
Katanya, usaha itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan TVET terus relevan dengan keperluan semasa.
“Terima kasih kepada Mohd. Kamal Dali atas dedikasi beliau dalam menyumbang kepada pembangunan negara. Tenaga mahir seperti beliau menjadi pemangkin utama kemajuan Malaysia.
“Sewaktu membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), saya maklumkan bahawa Kerajaan Madani konsisten memperkukuh TVET agar relevan dengan keperluan semasa merangkumi bidang digital, teknologi tinggi serta memperluas akses kepada golongan luar bandar, asnaf dan komuniti tahfiz,” katanya dalam Facebook beliau kelmarin.
Anwar merujuk satu poster oleh bersamamalaysiaku.malaysiamadani.gov.myyang menunjukkan pandangan seorang juruteknik, Mohd. Kamal Dali bahawa usaha kerajaan memperkukuhkan TVET bertepatan dengan keperluan semasa.
Beliau menyeru agar sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini disemarakkan sebagai wadah memperkukuh semangat kebersamaan, mendalami erti kesejahteraan dan pengorbanan serta menghargai keunikan kepelbagaian yang menyatukan rakyat Malaysia.


































