Dr. Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini sekali gus membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menikmati LPG bersubsidi tanpa impak kepada kenaikan harga makanan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, kerajaan terus memastikan subsidi LPG dinikmati oleh isi rumah serta perniagaan mikro dan sederhana terutama dalam sektor makanan dan minuman.
“Petroleum cecair atau LPG merupakan barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan berada di bawah pengawasan KPDN.
“Penguatkuasaan dan pemeriksaan ke atas industri yang menggunakan LPG telah dilaksanakan sejak ia disenaraikan sebagai barang kawalan pada 21 Oktober 1974,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai langkah kerajaan membanteras ketirisan subsidi LPG serta usaha mengurangkan beban kos bagi perniagaan mikro, kecil dan sederhana seperti warung dan gerai makan.
Fuziah berkata, bagi mengawal ketirisan barang kawalan, KPDN melaksanakan Ops 3.0 bermula 7 Januari 2024 yang melibatkan enam barang kawalan iaitu diesel, gula putih bertapis, minyak masak bungkus polibeg 1kg, tepung gandum, petrol RON95 dan LPG.
“Berdasarkan statistik penguatkuasaan, sebanyak 489 kes penyelewengan subsidi LPG direkodkan sejak 2024 hingga 18 Ogos 2025, dengan nilai rampasan kira-kira RM3.1 juta.
“Sebelum ini, KPDN turut melaksanakan Ops Gas Memasak (Ops Gasak) bermula 1 Mei hingga 31 Oktober 2025 bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan subsidi LPG oleh sektor industri dan perniagaan berskala besar,” katanya.
Menurut Fuziah, salah satu bentuk penyelewengan yang menjadi tumpuan ialah kegiatan decanting iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri atau komersial.
Katanya, KPDN juga akan memanfaatkan teknologi digital untuk memperkasa pemantauan, pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi.
“Harga LPG bersubsidi adalah tertakluk kepada kawalan harga di setiap peringkat rantaian pengedaran merangkumi pengeluar, pemborong dan peruncit selaras dengan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penentuan Harga Maksimum) No. 4 Tahun 2015 yang diwartakan pada 1 Julai 2015.
“Harga runcit LPG bersubsidi ialah RM19.00 (10kg), RM22.80 (12kg) dan RM26.60 (14kg). LPG untuk kegunaan industri pula tertakluk kepada harga pasaran tanpa kawalan,” katanya.
































