Alexander Nanta Linggi
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedia mengkaji cadangan penubuhan tabung khas bagi tujuan penyelenggaraan jalan raya di kawasan industri dan berintensiti ekonomi tinggi bagi memastikan infrastruktur lebih selamat dan selesa kepada pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, setakat ini, kementerian belum menerima sebarang cadangan rasmi, namun bersedia meneliti cadangan tersebut sekiranya ia dapat memberi manfaat kepada pembangunan jalan raya di kawasan yang menjadi nadi aktiviti ekonomi.
“Apatah lagi jika ia melibatkan kawasan aktiviti ekonomi yang penting,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat kelmarin.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai kesediaan KKR untuk mengkaji cadangan menubuhkan tabung khas bagi penyelenggaraan jalan industri di kawasan strategik seperti Kapar, yang merupakan pusat perindustrian dan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memberi fokus kepada usaha mencari kaedah terbaik dalam penyelenggaraan jalan termasuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap bahan binaan yang lebih kukuh dan mampu menampung beban muatan berat.
“Kita juga mempertingkatkan R&D bagi bahan-bahan yang sesuai digunakan untuk membina permukaan jalan lebih tahan lasak, khusus untuk laluan industri. Tidak dinafikan, lori dan trak besar yang membawa muatan berlebihan boleh menjejaskan struktur jalan raya,” katanya.
Tambah beliau, KKR bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi berkaitan lain bagi memastikan penyelarasan menyeluruh terhadap semua isu berkaitan jalan raya.
































