Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih komrehensif dengan rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.
“Dengan menyelaraskan diri kepada amalan terbaik jiran kita, Malaysia akan berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membentuk sebuah tertib serantau yang lebih adil dan responsif,” katanya ketika berucap pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Forum kali ini mengangkat tema ‘Meningkatkan Akses kepada Keadilan dalam Komuniti Ekonomi ASEAN: Merapatkan Kerjasama Undang-Undang untuk Pertumbuhan Inklusif dalam Era Digital’.
Tambah Anwar, dalam semangat pembaharuan ini, ASEAN juga mesti terus melabur dalam bantuan perundangan bersama, memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian, dan menghadapi cabaran baharu dalam tadbir urus digital serta pengawalseliaan kecerdasan buatan (AI).
“Ini bukanlah reformasi abstrak, tetapi tindakan membina kepercayaan, memastikan ASEAN kekal relevan dan berdaya tahan dalam dunia yang cepat berubah,” ujarnya.
Anwar berkata keterangkuman bermaksud undang-undang mesti berkhidmat kepada setiap individu, setiap komuniti, dan setiap generasi kerana keadilan tidak memadai wujud hanya sebagai prinsip, ia mesti dirasai dalam kehidupan rakyat kita.
“Undang-undang mesti memperkasa dan melindungi, bukannya menakut-nakutkan atau mengecualikan. Kelestarian pula bermaksud membina sistem dan institusi perundangan yang mampu bertahan dalam ujian masa.
“Kekuatan sebenar sesebuah kerajaan tidak terletak pada sejauh mana kuasanya, tetapi pada integriti institusinya, keadilan dalam tadbir urus, dan kepercayaan yang diperoleh daripada rakyatnya,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, ketegangan di sempadan Thailand dan Kemboja yang kembali reda apabila kedua-dua pihak bersetuju mengadakan genjatan senjata membuktikan kejayaan Malaysia sebagai pengantara.
Beliau berkata, ini bukan sahaja kejayaan diplomasi, tetapi juga peringatan bahawa meskipun dalam saat-saat genting, ASEAN mampu mengatasi perpecahan dan menegaskan peranannya sebagai penjaga keamanan.
































