Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Lebih 30,000 pekebun kecil di Sabah meliputi lebih 191,000 hektar ladang telah mencapai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) setakat April 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, pencapaian itu mewakili kadar pensijilan sebanyak 97.62 peratus, antara yang tertinggi di negara ini.
“Pencapaian ini menekankan kemajuan bersama kita serta kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti pekebun kecil,” katanya pada Forum Minyak Sawit Malaysia Timur (EMPOF2025) di Hotel Marriott, di sini, hari ini. Ucapannya dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Ketua Menteri berkata, dalam keadaan tekanan global terhadap rantaian bekalan bebas penebangan hutan, adalah penting bagi Malaysia meningkatkan usaha pensijilan dan kebolehkesanan bagi mengekalkan pengiktirafan serta kredibiliti dalam kalangan pihak berkepentingan utama, baik di dalam mahupun luar negara.
“Di Sabah, kita telah mencapai kemajuan di mana kira-kira 97 peratus daripada kawasan tanaman dan lebih 92 peratus di Sarawak kini diperakui di bawah MSPO. Namun, kita mesti terus berusaha ke arah 100 peratus penyertaan, khususnya bagi Pekebun Kecil Bebas.
“Kita amat menyedari cabaran yang dihadapi industri. Memenuhi piawaian global yang sentiasa berkembang, memastikan integriti alam sekitar serta memberi respons kepada tekanan pasaran memerlukan tindakan proaktif dan inovatif,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri telah mengguna pakai satu pendekatan transformasi dikenali sebagai Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan (JASPO).
Dilancarkan pada 2015, inisiatif JASPO menetapkan sasaran berani untuk mencapai 100 peratus pengeluaran minyak sawit mampan diperakui di seluruh negeri menjelang 2030.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sekadar pentadbiran, sebaliknya satu mekanisme tadbir urus yang membolehkan semua pemain dalam rantaian nilai minyak sawit bekerjasama di bawah satu kerangka bersama.
“Ia menyelaraskan aspirasi Sabah dengan piawaian nasional dan antarabangsa seperti MSPO, RSPO serta Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR), dan memastikan tiada pihak berkepentingan yang tertinggal, khususnya pekebun kecil yang menyumbang lebih 27 peratus daripada pengeluaran Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, Sabah terus mengekalkan kedudukannya dengan 1.48 juta hektar kawasan tanaman dan pengeluaran tahunan melebihi 4.2 juta metrik tan minyak sawit mentah (CPO).
Katanya, Sabah dan Sarawak bersama-sama merangkumi lebih 55 peratus daripada jumlah keseluruhan kawasan tanaman sawit negara, sekali gus membantu membentuk kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia serta sumber utama rantaian bekalan mampan dan diurus secara bertanggungjawab.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan ini tidak berlaku sekelip mata, tetapi hasil daripada dekad-dekad kerja keras, ketabahan dan kerjasama dalam keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada pekebun kecil, pengilang, penapis, pedagang, penyelidik hinggalah kepada penggubal dasar.
“Lebih penting lagi, ia adalah bukti komitmen bersama kita dalam mengimbangi pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar serta kemajuan sosial,” katanya.
Walau demikian, Hajiji berkata, ia bukan sekadar cerita tentang hektar dan jumlah pengeluaran, tetapi yang paling utama, ia adalah kisah kehidupan yang berubah.
“Di seluruh Malaysia, industri sawit secara langsung dan tidak langsung menyara kehidupan lebih 300,000 rakyat Malaysia serta menyokong lebih 85,000 pekebun kecil.
“Di sebalik angka ekonomi, ia telah mengubah landskap luar bandar, membawa bersama infrastruktur penting seperti jalan raya dan sekolah yang lebih baik, klinik serta rangkaian digital. Di tempat peluang dulunya terhad, kini wujud kemajuan dan janji masa depan lebih cerah,” katanya.
Ketua Menteri yakin melalui pelaburan strategik, tadbir urus kukuh serta penglibatan berterusan dengan pihak berkepentingan, industri ini akan terus berkembang dan membina sektor sawit berdaya maju untuk masa depan yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga peringkat global.
“Marilah kita terus bekerjasama dan memperjuangkan inovasi, memperkasa komuniti luar bandar serta memelihara alam sekitar supaya legasi yang kita tinggalkan bukan sekadar kemajuan ekonomi tetapi kemajuan yang bermakna dan memberi impak untuk generasi akan datang,” katanya.


































