Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bersama Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan membuat lawatan ke KL Sentral, di sini hari ini.
KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur memberi jaminan tahap keselamatan di kawasan tumpuan terutamanya Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) kekal berada dalam keadaan selamat meskipun kawasan itu mencatat hampir dua juta pengunjung pada waktu puncak setiap hari.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, meskipun terdapat laporan kes jenayah kecil seperti ragut dan curi harta benda di kawasan ini namun keadaan masih terkawal.
Katanya, usaha pencegahan berterusan dilaksanakan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama-sama polis bantuan bagi memastikan keselamatan pengunjung di kawasan tersebut terjamin.
“Setakat ini, suasana selamat dan harmoni. Orang ramai menggunakan kemudahan secara teratur, malah kita pastikan kawalan keselamatan berada pada tahap terbaik terutama di kawasan tumpuan seperti ini.
“Saya dimaklumkan, di dalam satu kapsul tren boleh memuatkan 1,000 penumpang tetapi mereka masih selesa walaupun ada yang terpaksa berdiri. Semuanya teratur,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan mengejut di KL Sentral di sini hari ini.
Terdahulu, Fadil mengetepikan segala protokolnya apabila membuat tinjauan mengejut bagi melihat pelaksanaan kawalan dan pemantauan keselamatan terhadap sistem pengangkutan rel seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan KTM Komuter ketika waktu puncak.
Pada kesempatan itu, Fadil yang hanya ditemani Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dan ketua Cawangan Khas, Kuala Lumpur, Datuk Fazlisyam Abd. Majid tidak melepaskan peluang mendapatkan maklum balas masyarakat tahap keselesaan serta keselamatan mereka di situ.
Hasil maklum balas yang diperoleh sekali gus dapat membantunya mengenal pasti beberapa kaedah atau cara untuk memperbaiki mutu perkhidmatan demi keselesaan masyarakat.
Fadil berkata, penggunaan teknologi moden termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV) bersepadu juga penting dalam meningkatkan keberkesanan pengawasan pihak berkuasa.
Tegasnya, pihaknya sentiasa menambah baik sistem pemantauan keselamatan yang ada dengan kerjasama pelbagai agensi demi memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin.
“Sebenarnya, penugasan kita sememangnya dah mula menggunakan teknologi tinggi seperti di bandar-bandar besar yang lain.
“Kita juga sedang mengenalpasti dan menilai sistem-sistem yang perlu ditambah baik dan apa yang perlu diperbaiki kerana kita (polis) mahu orang ramai berasa lebih yakin dan selesa,” jelasnya.
Untuk rekod, jumlah pengunjung di KL Sentral pada waktu-waktu puncak antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 7 malam adalah sehingga dua juta orang.




























