Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan di luar batas undang-undang atau bersikap seperti ‘vigilante’ dalam menangani sebarang isu berbangkit.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam wajar dijadikan peringatan supaya setiap pihak menyerahkan proses undang-undang kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
“Serahkan kepada polis untuk siasatan, kepada AGC untuk pendakwaan dan kepada mahkamah untuk membuat keputusan. Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim pada masa yang sama. Itu salah.
“Kita tahu ada yang berarak kononnya mahu ‘mengajar’ pihak tertentu. Ada antara mereka sudah dipanggil polis. Serahkan sahaja kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam.
Beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar memainkan peranan dalam memupuk semangat patriotisme terutama dalam bulan kemerdekaan.
“Kalau nampak Jalur Gemilang jatuh, angkatlah. Kalau pudar, gantikan dengan yang baharu. Kalau dipasang terbalik atau salah, betulkan dengan tangan sendiri. Jangan kita mencemuh atau memaki hamun. Ambil pendekatan beradab dan bersemangat patriotik,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, AGC memberi amaran sebarang perbuatan memaparkan, mengibarkan atau memasang bendera Malaysia secara tidak wajar boleh dikenakan tindakan undang-undang.
AGC dalam kenyataan berkata, jabatan itu memandang serius beberapa insiden mutakhir, termasuk pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai di Kepala Batas, Pulau Pinang dan di sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan.
































