Hajiji bergambar bersama peserta Sabah Moto Day sambil duduk di atas sebuah motosikal.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan memperuntukkan kira-kira RM600,000 bagi membantu pekerja gig dalam sektor e-hailing membuka akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, sebanyak 11,109 permohonan telah diterima daripada pekerja e-hailing untuk mencarum dalam KWSP.
“Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM600,000 bagi membantu mereka (pekerja e-hailing) yang masih belum membuka akaun KWSP,” katanya ketika merasmikan Sabah Moto Day 8.0 di Padang Kawad Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Hajiji turut gembira melihat perkembangan Sabah Moto Day yang terus berkembang pesat dengan menarik penyertaan kira-kira 60,000 penunggang motosikal dan peminat motor dari seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei pada tahun ini.
Kehadiran ramai penunggang dan pengunjung membuktikan bahawa aktiviti bermotosikal terus mendapat tempat di hati golongan belia dan masyarakat umum, katanya.
“Saya kagum melihat sokongan yang ditunjukkan oleh semua peserta tanpa mengira usia, bangsa dan agama, yang berkumpul berkongsi minat yang sama.
“Kita perlu melihat himpunan ini dari sudut yang positif kerana ia sedikit sebanyak menyumbang kepada penjanaan ekonomi negeri berikutan jumlah peserta dan pengunjung yang ramai sempena program ini,” katanya.
Menyeru peserta Sabah Moto Day agar sentiasa mengutamakan keselamatan di jalan raya, Hajiji turut berharap perhimpunan itu dapat memupuk kesedaran yang lebih tinggi mengenai keselamatan dalam kalangan peminat motosikal.
Ketua Menteri turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melihat golongan belia sebagai aset, justeru pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membangunkan modal insan.
Katanya, Kerajaan Negeri pada masa kini telah membelanjakan sejumlah RM1.33 bilion, termasuk RM848.26 juta untuk bantuan pendidikan dan RM485 juta khusus bagi program pembangunan bakat serta kemahiran sepanjang 2021 hingga 2025.
“Perkara ini tidak pernah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu. Kami komited untuk membangunkan belia kerana mereka adalah pemimpin masa depan kita,” katanya.
Di akhir ucapannya, Hajiji turut memimpin bacaan doa Al-Fatihah bersama para peserta untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
































