Kira-kira sedekad lalu, kelibat ninja popular, Naruto Uzumaki, pernah mencuri perhatian warga Sibu, Sarawak.
Berkostum oren terang, lengkap dengan pengikat kepala berlogo Kampung Daun Tersembunyi (Konohagakure) dan rambut kuning terpacak, kemunculannya di sekitar bandar itu membuatkan kanak-kanak dan remaja teruja.
Malah, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama watak anime dari Jepun ini.
Namun, di sebalik penampilan ninja lelaki itu, rupanya ia digayakan oleh seorang wanita, Siti Nurfatwa Abdul Jalil, 33, yang dikenali dalam dunia cosplay sebagai Nono Britannia.
Menurut Utusan Malaysia, dia berkata, kostum lengkap Naruto termasuk rambut palsu dan aksesori itu dibelinya melalui aplikasi e-dagang.
“Itu adalah kali pertama saya cosplay, memang rasa malu dengan pandangan pelik orang ramai, apatah lagi saya berseorangan.
“Tetapi apabila ada kanak-kanak yang minta bergambar, perasaan itu terus bertukar jadi seronok, dan saya fikir, boleh tahan juga kalau diteruskan,’” ujarnya kepada Seri baru-baru ini.

Percubaan sulung itu sekali gus membuka jalan bagi anak jati Sarawak ini untuk terus berkecimpung dalam hobi cosplay hingga kini.
Siti Nurfatwa berkata, penglibatannya itu didorong oleh minat mendalam terhadap dandanan rambut.
Dia mengakui terpesona dengan pelbagai gaya rambut unik dan berwarna-warni setiap karakter dalam karya anime serta permainan video.
“Saya tiada latar belakang dalam dandanan rambut, semuanya dipelajari sendiri dengan merujuk kepada setiap karakter.
“Lebih setahun saya mengasah bakat menggunting, mengemaskan serta membentuk pelbagai gaya dan sepanjang tempoh itu juga, banyak rambut palsu yang dibeli serta ‘dikorbankan’,” katanya.
Selepas ‘mahir’ mendandan rambut, barulah Siti Nurfatwa berani menyertai cosplay, pada 2018 dan empat tahun berikutnya, dia dijemput untuk membuat penampilan dalam acara cosplay terbesar di Kuala Lumpur.
Selain itu, eksekutif pemasaran di syarikat minyak wangi Fammy Faey ini juga merupakan penstrim permainan video yang menggayakan cosplay pelbagai watak daripada anime, manga dan permainan video popular.

100 rambut palsu, 60 kostum
Sehingga kini, dia memiliki lebih 100 rambut palsu, masing-masing khas untuk setiap karakter yang dibawakan.
Bagi koleksi kostum pula, jumlahnya mencecah 60 helai, dengan sebahagiannya ditempah daripada tukang jahit.
Antara kostum anime yang dimilikinya ialah Yor Forger (Spy x Family), Sailor Venus dan Sailor Jupiter (Sailor Moon), serta Shinobu Kocho (Demon Slayer).
Bagi Gundam, koleksinya menampilkan Lacus Clyne yang sinonim dengan rambut panjang berwarna merah jambu dan pakaian elegan.
Sementara itu, untuk permainan video Mobile Legends, kostumnya merangkumi Joy, Guinevere, Wanwan, Ruby dan Mathilda.
Koleksi Valorant pula terdiri daripada kostum Killjoy, Skye, Sage dan Neon diikuti Dota (Hoodwink, Crystal Maiden, Templar Assassin dan Marci).
“Kostum paling mahal ialah Wanwan yang berharga RM3,300 kerana aksesorinya lengkap termasuk rambut palsu, skirt, kasut, sarung tangan dan ekor.
“Terkini, saya berhabis kira-kira RM800 bagi menggayakan karakter Hoodwink dalam acara khas minggu depan.
“Watak ini asalnya ialah haiwan tetapi saya cuba bawakannya dalam bentuk manusia dan merancang untuk mengubah gaya rambut bagi mencipta kelainan,” katanya.
Mengulas mengenai harga rambut palsu, katanya, ia bergantung kepada kepanjangan dan kualiti, dengan purata bernilai kira-kira RM30.
Bagi yang kurang berkualiti pula, kebiasaannya boleh didapati serendah RM17 di kebanyakan platform dalam talian.
“Ada ketikanya saya tidak sempat mendandan rambut palsu sendiri dan terpaksa menghantarnya kepada jurugaya dengan bayaran mencecah lebih RM400,” katanya.

Bersolek kurang 30 minit
Selain kostum, solekan juga memainkan peranan penting bagi pemain cosplay supaya menyerupai karakter yang dibawakan.
Siti Nurfatwa selesa bersolek sendiri dan menariknya, tempoh masa yang diambil sangat singkat.
“Solekan cosplay memang tebal, tetapi saya cuma mengambil masa kira-kira 30 minit atau kurang untuk menyiapkannya.
“Orang lain mungkin gemar berlatih awal untuk menguasai solekan watak tertentu, tetapi saya terus bersolek sahaja bila tengok gambar karakter kerana tidak mahu membuang masa,” katanya.
Kongsinya lagi, solekan bagi watak lelaki lebih cepat dan mudah disiapkan berbanding wanita.
Keutamaan adalah pada teknik bayangan dan penggunaan pelekat muka bagi membentuk kontur wajah yang menyerupai karakter anime.
“Sebenarnya, saya lebih sukakan cosplay watak lelaki dan beberapa kali pernah menggayakan Li Shaoran (Cardcaptor Sakura) serta Ryoma Echizen (The Prince of Tennis).
“Sepanjang terlibat dalam hobi ini saya sentiasa menjaga adab kerana tidak mahu cosplay wanita dilihat sebagai objek seksual,” katanya.

Jadi pendapatan sampingan
Walaupun hobinya mahal, tetapi Siti Nurfatwa mampu menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti cosplay.
Kebiasaannya dia dibayar jika dijemput tampil dalam acara-acara terpilih yang diadakan pada hujung minggu.
Tugasannya mudah sahaja iaitu bergambar dengan pengunjung, mempromosikan produk dan acara, mencari orang untuk kuiz ringkas dan berlakon.
“Dulu ibu tidak merestui saya terlibat dalam cosplay, tetapi apabila saya beritahu hobi ini ada gaji lumayan, perlahan-lahan dia mula menerima minat saya.
“Setiap bulan, saya mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000, bergantung kepada kekerapan saya dijemput,” katanya.
Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, terdapat dua acara besar bagi peminat cosplay di Malaysia iaitu Pesta Komik pada Disember dan Animangaki yang diadakan minggu depan.
Kedua-duanya merupakan acara global yang dihadiri peserta luar negara seperti Singapura, Jepun, Vietnam dan Thailand.

Himpun penjaga bumi
Sebagai peminat anime Sailor Moon, Siti Nurfatwa sudah lama menyimpan impian untuk menghimpunkan kesemua lima pahlawan penjaga bumi itu.
Impiannya tercapai apabila berpeluang menjadi Sailor Venus dan tampil bersama rakan-rakan dalam kostum tersebut.
“Idea itu timbul sejak 2017 lagi tetapi sukar untuk saya mencari rakan yang memiliki kostum Sailor Moon, Sailor Mercury, Sailor Mars dan Sailor Jupiter.
“Pada 2023, saya ambil keputusan untuk menaja kostum tersebut dan bayaran sesi fotografi. Mereka hanya perlu memakainya sahaja dan akhirnya impian saya dapat direalisasikan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, setiap pemain cosplay lazimnya memiliki nama gelaran masing-masing dan Britannia dipilih kerana minatnya terhadap watak hero dalam anime Code Geass, Lelouch vie Britannia.
































