Aedy Fadly Ramli (kiri ) menunjukkan antara kenderaan mewah yang disita kepunyaan selebriti, pempengaruh dan ahli perniagaan termasuk warganegara asing pada sidang akhbar di JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU: Sebanyak 270 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana tidak memiliki cukai jalan (LKM) dan insurans kenderaan yang sah dalam Ops Luxury yang dilancarkan di seluruh negara, sejak bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara kenderaan mewah yang disita itu antaranya adalah kepunyaan selebriti, pempengaruh dan ahli perniagaan termasuk warganegara asing.
Beliau berkata, dalam tempoh operasi selama dua minggu itu, Kuala Lumpur merekodkan jumlah sitaan tertinggi dan antara kenderaan mewah yang disita ialah Ferrari, Lamborghini atau Rolls-Royce.
“Ops Luxury yang diadakan di seluruh negara sejak 1 Julai lalu bagi menahan dan mengambil tindakan kepada semua kenderaan mewah yang tidak mempunyai cukai jalan serta insurans.
“Kenderaan mewah tersebut akan terus berada di premis JPJ negeri masing-masing selagi mana pemiliknya tidak menjelaskan saman yang dikenakan, memperbaharui cukai jalan termasuk insurans,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di JPJ Negeri Johor di Taman Daya, di sini, kelmarin.
Yang turut hadir Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Johor, Azmil Zainal Adnan.
Aedy Fadly berkata, dalam Ops Luxury di Johor, JPJ menahan sebanyak 11 kenderaan mewah termasuk sebuah Lamborghini Huracan dengan cukai jalan bernilai RM12,000 setahun.
Tambahnya, dalam operasi sama di Kuala Lumpur, JPJ turut menyita sebuah Rolls-Royce yang cukai jalannya bernilai RM29,000 setahun.
“Antara alasan yang kerap diberikan pemilik kenderaan mewah itu adalah mereka terlupa, namun ada juga yang sengaja tidak membayar walaupun mampu. Paling lama yang kita kesan tidak membayar cukai jalan adalah selama lebih tiga tahun,” katanya.
Menurutnya, operasi tersebut akan dilaksanakan secara berterusan dan diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk di Sabah dan Sarawak bagi memastikan pematuhan jalan raya dapat dipatuhi.
“Kita ingin beri mesej kepada pemilik kenderaan mewah yang sanggup habiskan jutaan ringgit untuk kenderaan mewah ini bahawa cukai jalan dan insurans sangat penting sekiranya berlaku kemalangan, ia akan jadi masalah kepada pemilik kenderaan dan pengguna jalan raya lain.
“Kita bukan nak memerangi pemilik kenderaan mewah ini, tetapi penguatkuasaan ini penting demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” ujarnya.
































