PAPAR: Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Limbahau kelmarin secara rasmi melancarkan sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai sebahagian daripada persiapan strategik jentera parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka bakal diadakan pada bila-bila masa.
Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Mositun, Papar dan dipengerusikan oleh Ketua Bahagian PBS Limbahau, Datuk Johnny Mositun yang turut mengumumkan barisan Ketua-Ketua PDM bagi kawasan tersebut.
Sembilan PDM yang dilancarkan adalah PDM Dambai, PDM Labak, PDM Kaiduan, PDM Gana, PDM Ovai, PDM Surati, PDM Limbahau, PDM Biau dan PDM Rampazan.
Johnny dalam ucapannya menegaskan bahawa pelancaran sembilan PDM ini adalah satu langkah penting dalam memastikan kesiapsiagaan jentera akar umbi PBS untuk bergerak secara teratur dan bersatu dalam menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
“Kita berada dalam ‘mode bersedia’. Pelantikan ketua-ketua PDM ini bukan sahaja memperkukuh struktur organisasi, malah memberi ruang kepada penglibatan aktif ahli-ahli PBS di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau turut menyeru agar semua ahli parti terus mengutamakan perpaduan, memperkukuh kerja berpasukan serta menyampaikan mesej perjuangan PBS kepada seluruh rakyat, khususnya di DUN Limbahau.
































