Gobind Singh Deo ketika berucap pada Sidang Kemuncuk ASEAN AI Malaysia 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur di sini, semalam.
KUALA LUMPUR: Rang undang-undang baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI) dijangka dibentangkan di Parlimen pada pertengahan tahun depan sebagai langkah memastikan pembangunan teknologi itu di Malaysia berjalan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, proses merangka undang-undang tersebut kini sedang dijalankan dengan tumpuan kepada aspek takbir urus AI yang merangkumi piawaian, peraturan, etika, perundangan dan standard keselamatan.
“Kita mahu pastikan kita bersedia menggunakan AI, tetapi dalam masa sama menguruskan risikonya. Justeru, kita perlu menetapkan piawaian, menggubal peraturan melalui perundangan dan membangunkan undang-undang khusus bagi aspek tertentu,” katanya ketika ditemui pemberita pada ASEAN AI Malaysia Summit 2025, di sini semalam.
Menurut Gobind, draf pertama rang undang-undang AI telah diserahkan kepada beliau, namun kementeriannya meminta kajian tambahan bagi memperkukuh kandungan sebelum dibentang.
Beliau berkata, perbincangan dengan industri sedang dijalankan melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) bagi memastikan undang-undang tersebut selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran.
“Sekiranya semuanya berjalan mengikut perancangan, saya harap menjelang pertengahan tahun depan kita akan melihat perkembangan penting dari segi takbir urus AI di negara ini,” jelasnya.
Sementara itu, Gobind berkata, kementerian menggariskan empat kategori utama dalam tadbir urus AI sebagai panduan memastikan teknologi itu dibangunkan secara selamat, beretika dan memberi manfaat kepada semua pihak.
Katanya, empat kategori tersebut merangkumi pelbagai tahap kawal selia bergantung kepada jenis produk atau penyelesaian yang dibangunkan.
“Ada produk yang tidak memerlukan tadbir urus langsung. Ada pula yang memerlukan tadbir urus tetapi cukup dengan piawaian tanpa perlu undang-undang.
“Kemudian, ada produk yang memerlukan tadbir urus dan piawaian, namun tidak memerlukan undang-undang khusus, sebaliknya diurus melalui peraturan sektor tertentu.
“Dan akhirnya, ada produk yang memerlukan tadbir urus, piawaian serta peruntukan undang-undang, terutamanya dalam bidang yang memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan yang dibina tidak hanya melibatkan dasar AI semata-mata, sebaliknya memastikan negara benar-benar bersedia untuk menerima teknologi itu melalui rangka kerja yang kukuh, seterusnya memanfaatkan potensi besar yang dibawa AI.
“Kita mahu membina struktur yang membolehkan teknologi ini digunakan secara meluas. Dari sudut kerajaan, Disember tahun lalu kita telah menambah baik perkongsian data, memikirkan bagaimana untuk mendigitalkan maklumat yang begitu banyak dan memastikan keselamatan data digital.
“Kunci utamanya adalah membina ekosistem yang mempunyai kepercayaan supaya rakyat yakin menggunakan platform tersebut. Akta Digital yang akan dikuatkuasakan tahun ini adalah sebahagian daripada usaha itu,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan membangunkan dokumentasi serta garis panduan yang dipersetujui bersama oleh negara ASEAN memandangkan teknologi akan terus berkembang.
































