Zara Qairina Mahathir
KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca dan sebab kematian Zara Qairina, susulan penilaian terhadap laporan siasatan yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia pada 12 Ogos lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, inkues itu akan dijalankan selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
“Prosiding inkues ini bertujuan menentukan punca dan sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kematian Zara Qairina,” jelas kenyataan itu.
Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa proses berkenaan akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus, mengikut segala peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kenyataan itu turut memaklumkan keputusan ini diambil selepas penelitian rapi terhadap hasil siasatan pihak polis.
































