WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan pertemuannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Lip-Bu Tan sebagai “sangat menarik”, hanya beberapa hari selepas beliau mendesak tokoh korporat itu untuk meletakkan jawatan.
Menurut Utusan Malaysia, dalam hantaran di platform Truth Social miliknya pada Selasa, Trump memaklumkan pertemuan tersebut turut dihadiri Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick dan Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent.
“Pertemuan itu sangat menarik,” tulis Trump, sambil memuji kisah kejayaan hidup Tan sebagai “satu kisah yang menakjubkan”.
Beliau turut menyatakan barisan kabinetnya akan mengadakan pertemuan lanjut bersama Tan minggu hadapan bagi membincangkan beberapa cadangan.
Intel dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Tan berpeluang mengadakan perbincangan yang jujur dan membina dengan Trump mengenai komitmen syarikat itu untuk memperkukuh kepimpinan teknologi dan pembuatan AS.
Syarikat itu turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama rapat dengan Trump dan pentadbirannya dalam usaha mengembalikan kegemilangan syarikat-syarikat teknologi Amerika.
Bagaimanapun, pertemuan ini berlaku hanya seminggu selepas Trump secara terbuka menggesa Tan supaya meletakkan jawatan serta-merta. Gesaan itu dibuat selepas seorang senator Republikan membangkitkan kebimbangan terhadap keselamatan negara berikutan kaitan Tan dengan firma berkepentingan di China.
“CEO Intel mempunyai konflik kepentingan yang besar dan mesti meletakkan jawatan segera. Tiada penyelesaian lain bagi masalah ini,” tulis Trump dalam satu hantaran di Truth Social minggu lalu.
Sebagai respon, Tan menegaskan Intel bekerjasama dengan pentadbiran Trump bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan dan memastikan semua pihak mendapat maklumat yang tepat.
Tan, tokoh kelahiran Malaysia dan veteran dalam industri teknologi, mengambil alih tampuk kepimpinan Intel pada Mac lalu ketika syarikat itu sedang bergelut dengan saingan daripada gergasi Asia seperti TSMC dan Samsung yang menguasai pasaran pembuatan cip global.
Dalam kenyataannya, Tan menjelaskan terdapat banyak maklumat tidak tepat berhubung peranannya sebelum ini di Walden International dan Cadence Design Systems.
Kini, Intel turut berdepan cabaran besar apabila kepakarannya dalam pengeluaran cip untuk sistem pengkomputeran tradisional semakin diketepikan oleh kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI), selain tekanan daripada tarif dan sekatan eksport yang dikenakan oleh kerajaan AS.


































