Hajiji mengendalikan jengkaut untuk menandakan upacara pecah tanah Pekan Baharu Paginatan.
RANAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPBS), komited untuk meneruskan agenda menangani kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri ini menerusi program pembangunan bandar baharu.
Beliau berkata, Projek Pekan Baharu Paginatan yang sekian lama dinantikan dijangka dapat merancakkan ekonomi setempat, selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat dan peningkatan kualiti hidup.
Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah Projek Pekan Baharu Paginatan di Dewan Terbuka Memorial Nunuk Ragang di sini, hari ini.
Bandar baharu seluas 200 ekar itu, terletak kira-kira 43 kilometer dari sini, akan dibangunkan dalam lima fasa, merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, rumah kos rendah, dewan serbaguna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.
Sebaik siap kelak, penduduk di Paginatan tidak lagi perlu pergi ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan, katanya.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa isu-isu yang dihadapi rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Abidin Madingkir akan diambil tindakan.


































