Pesawat yang dihadiahkan oleh Qatar kepada Donald Trump dijangka digunakan sebagai Air Force One pada Februari tahun depan.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mendakwa pesawat sumbangan Qatar boleh digunakan sebagai Air Force One menjelang Februari 2026, jauh lebih awal berbanding dua pesawat presiden baharu daripada Boeing yang tertangguh pembinaannya.
“Mereka kata Februari. Lebih cepat daripada yang lain. Yang lain masih dalam pembinaan,” ujar Trump pada akhir Julai ketika ditanya bila beliau menjangka dapat menggunakan pesawat baharu itu.
Menurut Utusan Malaysia, bekas pegawai pertahanan dan penganalisis penerbangan meragui kenyataan itu dengan memetik cabaran besar menaik taraf pesawat milik kerajaan asing agar memenuhi keperluan khusus Air Force One, termasuk memastikan keselamatan dan perlindungan presiden terutamanya ketika penerbangan antarabangsa.
Bekas penolong setiausaha tentera udara di bawah pentadbiran Biden yang pernah menguruskan bajet tahunan lebih AS$54 bilion(RM229 bilion) bagi ratusan program perolehan termasuk Air Force One, Andrew Hunter berkata, menyiapkan pesawat tersebut dalam tempoh sesingkat itu tanpa Trump mengetepikan beberapa syarat yang biasanya diperlukan sebelum presiden boleh menaiki pesawat baharu adalah ‘mencabar, jika tidak mustahil’.
“Tidak mungkin dapat meniru sepenuhnya keupayaan Air Force One pada pesawat sumbangan itu dalam tempoh lebih singkat” jelasnya.
Selain isu tempoh, rancangan menggunakan pesawat Boeing 747-8 sumbangan Qatar menimbulkan pelbagai persoalan serta mendapat perhatian kedua-dua parti politik.
Ada yang mempersoalkan dari segi undang-undang dan etika menerima hadiah sebegitu, manakala yang lain bimbang mengenai risiko keselamatan berdasarkan tahap modifikasi yang diperlukan untuk sebuah pesawat presiden.
Pesawat Boeing yang ditempah melalui kontrak masih dalam proses pengubahsuaian di San Antonio.
Pesawat Qatar itu sebelum ini turut diletakkan di bandar tersebut sementara menunggu naik taraf, namun penjejak pesawat sumber terbuka ADS-B Exchange menunjukkan ia terbang ke Lapangan Terbang Fort Worth Alliance pada 29 Jun.


































