KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun (Dr.) Musa Haji Aman mengarahkan pihak berkuasa berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, bedah siasat telah dilakukan semalam dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan sementara menunggu keputusan bedah siasat itu.
“Siasatan ini mestilah dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan. Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Musa menegaskan, menuntut keadilan bukanlah bentuk pembalasan, sebaliknya ia adalah perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah.
Pada masa sama, pihak Istana mengingatkan orang ramai, khususnya pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi berkaitan kes ini.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menggugat integriti siasatan malah boleh menyebabkan kesedihan lebih mendalam kepada keluarga Allahyarhamah yang sedang berduka,” katanya.
Pihak Istana turut menyeru semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan secara adil serta berdiri seiring dengan keluarga Zara dalam mencari jawapan dan penyelesaian.
Tun Musa dan Toh Puan Faridah Tussin merakamkan ucapan takziah serta simpati kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan ini.
Sementara itu, Majlis Tahlil dan Doa peringkat negeri khusus untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, dan turut diadakan serentak di semua masjid serta surau di seluruh negeri.
Tun Musa menggalakkan umat Islam untuk hadir bersama-sama pada majlis itu, manakala mereka yang bukan beragama Islam disaran berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.
“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, serta memberikan kekuatan kepada kita untuk melindungi anak-anak bagi mengelakkan berulangnya tragedi seperti ini pada masa hadapan,” katanya.