KUALA LUMPUR: Dua orang selebriti yang dilaporkan ‘liat’ membayar cukai jalan dan perlindungan insurans kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit milik mereka difahamkan telah menjelaskan tunggakan bayaran tersebut hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, berdasarkan semakan rekod pihaknya juga mendapati, kedua-dua selebriti berkenaan gagal berbuat demikian masing-masing selama setahun dan dua tahun sebelum ini.
“Mereka sudah membuat pembayaran hari ini, jadi tiada tindakan yang akan diambil terhadap mereka.
“Ini hasil berita dikeluarkan media sebelum ini yang akhirnya membawa kepada dua selebriti itu membayar cukai jalan dan perlindungan insuran kenderaan mereka.
“Alasan sama diberikan iaitu terlupa membayar cukai jalan kerana kenderaan itu jarang digunakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya kerana tindakan akan diambil tanpa mengira status sekiranya didapati gagal mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada.
“JPJ memberi peringatan tegas kepada semua pengguna jalan raya tidak kira selebriti, ahli perniagaan atau orang biasa supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya. Tindakan tegas juga akan diambil tanpa memilih bulu dan pilih kasih,” katanya.
Media semalam melaporkan dua selebriti yang mempunyai kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit, dikesan masih ‘liat’ untuk membayar cukai jalan dan perlindungan insurans.
Muhammad Kifli dilaporkan berkata, ini berdasarkan risikan dan siasatan yang dijalankan pihaknya menerusi Op Luxury yang diadakan di seluruh negara.
Sebelum ini media melaporkan, selebriti dan ahli perniagaan antara pemilik kenderaan mewah seperti Ferrari, Lamborghini dan Porsche yang dikesan ‘liat’ membayar cukai jalan dan perlindungan insurans dalam tempoh yang lama.
Mereka menggunakan alasan jarang menggunakan kenderaan berkenaan dan hanya digunakan sebagai weekend car(kereta yang hanya digunakan pada hujung minggu).
































