KUALA PILAH: Seorang anggota Jabatan Imigresen didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki warga asing di Rembau, bulan lalu.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Mohd. Nazrul Md Yasin, 38, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah merompak harta warganegara asing berkenaan antaranya berupa sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM440 dan pasport mangsa.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 6.10 petang di tepi jalan Kampung Miku Pindah di Rembau pada 11 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung memohon tarikh paling awal untuk ditetapkan bagi sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 14 Ogos ini dan tiada jaminan ditawarkan pada peringkat ini.
































