Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Tiada keputusan atau perancangan untuk melaksanakan Single Tax Agency (STA) melalui penggabungan Jabatan Kastam Diraja (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa komited menambah baik tadbir urus sistem percukaian negara agar lebih cekap, telus dan mesra pematuhan, selaras keperluan semasa dan amalan terbaik antarabangsa.
“Dalam usaha menambah baik tadbir urus sistem percukaian negara supaya lebih cekap dan mampu menangani ketirisan hasil, usaha sedang ditingkatkan untuk menggerakkan kerjasama LHDN dan JKDM terutamanya dalam perkongsian maklumat dan penguatkuasaan.
“Antara usaha terkini adalah e-invoicing, walaupun inisiatif ini diterajui oleh LHDN tetapi data transaksi akan dikongsi dengan JKDM.
“Selain itu, LHDN dan JKDM juga sedang bekerjasama demi aktiviti penguatkuasaan berhubung penyeludupan rokok,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Haji Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai perancangan kerajaan melaksanakan STA dengan melaksanakan pengkorporatan JKDM dan LHDN atau bercadang menyelaras sistem percukaian di bawah National Single Window (NSW).




























