ATLANTA: Seorang lelaki bersenjata melepaskan puluhan das tembakan ke arah ibu pejabat Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Atlanta, Georgia, sehingga mengorbankan seorang anggota polis, dalam insiden lewat petang Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pegawai penguat kuasa yang memetik laporan Associated Press (AP) memaklumkan, suspek berusia 30 tahun itu dipercayai menyalahkan vaksin Covid-19 kerana menyebabkan dirinya kemurungan dan berhasrat membunuh diri.
Suspek dikenali sebagai Patrick Joseph White cuba memasuki bangunan CDC tetapi dihalang pengawal keselamatan sebelum memandu ke sebuah farmasi di seberang jalan dan melepaskan tembakan.
Dia dilaporkan memiliki lima pucuk senjata api, termasuk sekurang-kurangnya sebuah senjata panjang.
Mangsa, Pegawai Polis Daerah DeKalb, David Rose, maut ketika cuba menyelamatkan keadaan.
Rose, 33, merupakan bekas anggota Marin yang pernah berkhidmat di Afghanistan, baru sahaja menamatkan latihan akademi polis pada Mac lalu, dan meninggalkan seorang balu serta tiga anak, termasuk seorang yang masih dalam kandungan.
Biro Siasatan Georgia memaklumkan bapa suspek menghubungi pihak polis untuk mengenal pasti anaknya sebagai kemungkinan penyerang.
Menurut keluarga, White tertekan akibat kematian anjing peliharaannya dan semakin obses dengan isu vaksin Covid-19.
Insiden ini berlaku ketika CDC berdepan kritikan dan perubahan drastik di bawah Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Robert F. Kennedy Jr., yang terkenal sebagai tokoh anti-vaksin.
Di bawah kepimpinannya, hampir 2,000 kakitangan CDC diberhentikan dan bajet agensi itu dicadang dipotong separuh oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
































