SYDNEY: Kerajaan negeri New South Wales (NSW), Australia menawarkan pampasan sebanyak AS$1.3 juta (RM3.6 juta) kepada Kathleen Folbigg, seorang wanita yang dipenjara secara tidak sah selama dua dekad atas kesalahan membunuh empat anaknya , satu tuduhan yang kemudiannya dibatalkan.
Menurut Utusan Malaysia, Folbigg, kini berusia 58 tahun disabit kesalahan pada tahun 2003 selepas didapati bersalah oleh juri kerana membunuh tiga anak dan menyebabkan kematian anak keempat tanpa niat dalam tempoh 10 tahun.
Namun, dia dibebaskan dan diberi pengampunan penuh pada tahun 2023, selepas satu siasatan bebas menemui bukti saintifik baharu, termasuk kemungkinan kematian anak-anaknya berpunca daripada sebab semula jadi atau mutasi genetik.
Kerajaan NSW mengumumkan bayaran pampasan ex-gratia iaitu satu bentuk sumbangan sukarela tanpa sebarang kewajipan undang-undang, setelah menilai tuntutan yang dikemukakan oleh Folbigg pada Julai tahun lalu.
Walau bagaimanapun, peguam Folbigg, Rhanee Rego, menyifatkan jumlah yang ditawarkan sebagai “tidak adil dan tidak mencerminkan penderitaan sebenar” yang dialami anak guamnya.
“Jumlah itu merupakan satu penghinaan moral. Ia terlalu rendah dan langsung tidak mencerminkan trauma yang ditanggung Kathleen selama dua dekad dipenjara secara tidak sah. Sistem sekali lagi gagal memberikan keadilan kepadanya,” tegas Rego.
Beliau turut mendesak agar siasatan diadakan bagi meneliti proses penentuan jumlah pampasan tersebut. Tambahnya, Folbigg bukan sahaja kehilangan empat anak, tetapi juga kehilangan 20 tahun kehidupannya, termasuk kesan trauma jangka panjang yang masih dirasai hingga kini.






























