Syerlyana (tengah) bersama Amirah(kiri) dan Nurul (kanan) menunjukkan Replika Wang Tunai kemenangan masing-masing pada majlis tersebut.
TUARAN: Finalis Ratu Serimpak Teghilan, Sherlyana Yuzairin Abdul Halim mengungguli Pertandingan Cita Rasa Warisan Ratu Serimpak apabila berjaya memikat juri dengan hidangan tradisional Ikan Ampap sekaligus menewaskan 19 peserta lain.
Naib juara di menangi oleh Amirah Zarifah Azman dari Kuala Penyu manakala tempat ketiga menjadi milik Nurul Izzati Fitri Alias dari Tamparuli.
Pertandingan yang berlangsung penuh warna-warni itu menampilkan para peserta berbusana warisan tradisional sambil mempertontonkan kemahiran memasak masing-masing.
Bau harum masakan memenuhi ruang pertandingan, diiringi persembahan nyanyian artis tempatan Ayu Damit dari awal hingga tamat acara.Panel juri berpengalaman diberi tanggungjawab untuk menilai berdasarkan kriteria persembahan,rasa, kreativiti dan hiasan.
Mereka terdiri daripada Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Adilah Md. Ramli serta Pensyarah Kanan Seni Kulinari, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (UiTM) Sabah, Dr. Mohammad Halim Jeinie.
Selain menjadi medan persaingan, pertandingan dengan hadiah keseluruhan bernilai RM2,400 itu turut membawa misi besar memartabatkan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WKTK), Jabatan Warisan Negara melalui makanan tradisional, sekaligus memperkuatkan nilai perpaduan dan kesedaran terhadap budaya tempatan.
Pemenang tempat pertama membawa pulang wang tunai RM1000 diikuti RM800 di tempat kedua dan RM600 untuk tempat ketiga.
Program tiga hari itu turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya demonstrasi & jualan makanan warisan Sabah seperti Ambuyat, Busou, Nasi Linopot, Sambal Tuhau, Sagun Borneo, kuih Penaram dan makanan yang telah mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai budaya sarapan Malaysia iaitu teh tarik, roti canai.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Bajausama Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali serta Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin.






























