Tangkap layar CCTV menunjukkan George Lilley memukul Sureerat sehingga mencetuskan pergaduhan besar.
PATTAYA: Seorang pelancongan warga Britain cedera patah tangan selepas terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang pelayan bar wanita di sebuah premis hiburan kelmarin..
Menurut Utusan Malaysia, kejadian berlaku di Bar Lanon berdekatan pusat pelancongan terkenal Pattaya apabila lelaki berkenaan, George Lilley, 66, bertindak agresif terhadap wanita tempatan yang dikenali sebagai Sureerat, 39, selepas permintaannya untuk ditemani minum ditolak.
Menurut laporan polis, insiden bermula apabila Lilley yang berasal dari Leeds, Britain dipercayai menghina dan menengking wanita berkenaan, sebelum menumbuk mukanya di hadapan para pelanggan yang menjamu selera.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Sureerat bertindak balas dengan mencakar muka Lilley, sebelum dia dibalas dengan tumbukan bertubi-tubi oleh lelaki itu.
Suasana bertukar tegang apabila wanita itu kemudian melemparkan segelas minuman ke muka pelancong terbabit.
Dalam kekecohan itu, seorang pelanggan lelaki yang berada berhampiran menolak Lilley menjauhi wanita tersebut, menyebabkan dia terjatuh dan mengalami kecederaan serius pada lengan kanan.
Jurucakap Polis Bandar Pattaya memaklumkan pihaknya telah mengambil rakaman CCTV sebagai bahan bukti untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam kenyataannya kepada pihak berkuasa, Sureerat menjelaskan Lilley meminta dia untuk menemaninya minum namun terpaksa ditolak atas sebab sibuk melayan pelanggan lain.
“Dia kelihatan marah, menengking saya, lalu terus menumbuk muka saya. Nasib baik ada pelanggan lain yang campur tangan,” katanya.
Pattaya, sebuah bandar pantai di pesisir timur Teluk Thailand, sering dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah dan keganasan membabitkan pelancong asing, khususnya di kawasan hiburan malam yang popular.


































