PETALING JAYA: Proses pelantikan tetap seramai 4,352 pegawai perubatan gred UD10 disegerakan bermula 2 Oktober ini, susulan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi kenyataan berkata, sesi libat urus telah dilaksanakan bersama agensi pusat seperti Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyelaras pelaksanaan pelantikan tetap secara berfasa.
“Pelantikan tetap ini perlu dilaksanakan secara berperingkat kerana melibatkan beberapa kohort pegawai lantikan kontrak terdahulu. Selain itu, ia penting bagi menjaga kebajikan pegawai daripada segi susunan kekananan,” katanya.
KKM berkata, SPA dijadual mengeluarkan surat tawaran pelantikan kepada calon selewat-lewatnya 18 Ogos ini sebelum mereka melapor diri ke fasiliti kesihatan seluruh negara bermula Oktober.
KKM turut merakamkan penghargaan kepada JPA, SPA dan Kementerian Kewangan atas kerjasama erat yang diberikan demi memastikan pelantikan tetap berjalan lancar dalam tempoh ditetapkan.
“KKM komited memastikan proses ini dilaksana dengan teratur sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan awam negara.
“Pengisian jawatan kritikal ini amat penting bagi memenuhi keperluan perkhidmatan semasa,” katanya.


































