Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memiliki kad ATM milik individu lain tanpa kuasa yang sah.
SEREMBAN: Dua lelaki masing-masing didenda sebanyak RM10,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad mesin juruwang automatik (ATM) milik individu lain tanpa kuasa yang sah.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh, Lim Jiunn Liang, 28, dan Justine Chung Yin Wei, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.
Mahkamah menetapkan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda mereka boleh dipenjara 12 bulan.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati memiliki dan mengawal 90 kad akaun milik orang lain tanpa kebenaran sah.
Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta berhampiran sebuah bank di Jalan Dato’ Bandar Tunggal di sini lebih kurang pukul 9.50 pagi pada 29 Julai lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama di Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mereka ditangkap oleh sepasukan anggota polis Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan melalui maklumat risikan Op Khas 35/25 berkaitan kes penipuan dalam talian.
Dalam operasi itu turut dirampas sebuah kereta Honda City, 90 kad ATM pelbagai bank, enam unit telefon bimbit serta 22 keping wang kertas RM50.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ’Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh.
Peguam bela, K.Tharani, yang mewakili kedua-dua tertuduh kemudian memohon hukuman denda paling minimum atas alasan anak guamnya masih muda dan merupakan kesalahan kali pertama.


































