KUALA KRAI: Suspek yang dipercayai memukul bapanya hingga mati menggunakan kerusi dalam kejadian di Kampung Kuala Gris di sini hari ini positif dadah jenis methamphetamine.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, lelaki yang berusia 39, turut mempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
“Suspek keluar dari penjara pada awal bulan lalu dan tinggal bersama mangsa dan ibunya. Semakan awal mendapati, suspek memiliki tujuh rekod lampau iaitu lima kesalahan melibat kes dadah dan dua kes ugutan jenayah.
“Polis berjaya menangkap suspek dan telah merampas sebatang serpihan kerusi yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok untuk permohonan reman.


































