KAJANG: Dua pelajar lelaki Tingkatan Satu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkelakuan tidak sopan dengan menampar rakan sekelas dalam kejadian yang tular di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, pengakuan itu dibuat oleh kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 13 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa berkelakuan kurang sopan dengan cara menampar seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Kajang pada pukul 11 pagi, 30 Julai lalu dan didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Alia Safri, manakala peguam Lee Tee Kiat mewakili kedua-dua tertuduh yang merupakan pesalah bawah umur.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua remaja itu diikat jamin RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Majistret turut menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum hukuman dijatuhkan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, siasatan mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua remaja itu terhadap cara percakapan mangsa.
Menurut beliau, sembilan keterangan telah diambil termasuk empat pelajar yang ditahan sebelum ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar lelaki mendakwa ditumbuk dan ditampar oleh dua rakan sekelasnya di pusat beli-belah berkenaan pada hari kejadian, sebelum membuat laporan polis pada pukul 12.57 tengah hari keesokan harinya.


































