Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri komited untuk memperkasa keupayaan tenaga kerja tempatan negeri ini, termasuk dalam sektor air selaras dengan visinya ke arah Sabah yang makmur.
“Dengan membekalkan para profesional kita dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, kita memperkasa mereka untuk menerajui penggunaan teknologi dan amalan baharu.
“Pelaburan dalam modal insan ini amat penting untuk pembangunan mampan dalam semua sektor,” katanya semasa merasmikan Persidangan dan Ekspo Asiawater Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Ketua Menteri berkata, tidak dapat dinafikan manfaat ekonomi daripada industri air dan kumbahan yang kukuh adalah besar kerana perkhidmatan air yang baik membawa kepada tahap kesihatan awam yang lebih baik serta peningkatan produktiviti.
“Apabila kita melabur dalam infrastruktur air, kita turut merangsang penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi, sekali gus memastikan semua rakyat Sabah mendapat manfaat daripada kemajuan ini,” kata Hajiji.
Beliau berkata, persidangan dan ekspo ini merupakan satu lagi detik penting dalam usaha menangani isu kritikal yang dihadapi Sabah.
“Saya percaya sepanjang beberapa hari ini, anda akan terlibat dalam perbincangan yang bermakna dan meneroka penyelesaian inovatif untuk menangani cabaran mendesak yang kita hadapi di Sabah,” katanya.
Hajiji berharap wacana itu akan membuka ruang baharu untuk kerjasama dan perkongsian ilmu.
“Apa yang lebih penting adalah memperkasa keupayaan dan membangunkan strategi berkesan untuk menambah baik perkhidmatan air kepada komuniti kita,” katanya.


































