Liza Din
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas, Liza Din menyeru agar semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik dan pentadbir sekolah, lebih proaktif dalam melindungi kesejahteraan emosi dan fizikal pelajar, susulan insiden yang menimpa Zara Qairina Mahathir, pelajar SMK (A) Tun Datu Mustapha.
Beliau berkata, insiden yang tular baru-baru ini harus menjadi cerminan kepada keperluan mendesak untuk mengembalikan fungsi sekolah sebagai ruang pembelajaran yang benar-benar selamat, membina dan menyokong perkembangan menyeluruh pelajar.
“Apabila video insiden melibatkan Zara tersebar, ramai yang tampil menyatakan simpati dan sokongan. Namun lebih dari itu, kita harus melihat ini sebagai satu peringatan bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki dalam sistem sokongan sosial dan pendidikan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, masyarakat kini lebih cepat menyatakan solidariti, tetapi keprihatinan itu kerap kali bersifat sementara dan tidak diterjemahkan kepada tindakan berterusan.
“Hari ini ramai yang bersuara, esok ia mungkin tenggelam ditelan isu lain. Malah ada yang memilih untuk memperkecilkan impak emosi terhadap pelajar seperti Zara, dan lebih menyedihkan apabila insiden sebegini dijadikan bahan gurauan,” katanya.
Liza berkata, kejadian seperti ini mencerminkan keperluan untuk membina semula budaya empati dan hormat dalam kalangan generasi muda, bermula dari rumah dan diperkukuh melalui pendidikan serta bimbingan berterusan.
“Perkara ini bukan sekadar isu disiplin atau kesalahan individu. Ia cerminan kepada nilai yang kita terapkan sebagai masyarakat. Apabila orang dewasa diam, anak-anak kehilangan panduan,” tambahnya.
Menurut beliau, suara dan keberanian Zara perlu dihargai sebagai pemangkin perubahan yang lebih besar, dan bukan sekadar satu kisah tular yang akan dilupakan begitu sahaja.
“Kita tidak boleh terus benarkan perkara seumpama ini berlaku tanpa pembetulan yang jelas dan tegas,” katanya.
Liza turut menggesa agar pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan prosedur sedia ada, sambil memastikan semua pelajar dilindungi secara menyeluruh dari sebarang bentuk tekanan sosial yang boleh menjejaskan perkembangan mereka.
“Anak-anak kita berhak mendapat ruang pembelajaran yang selamat, dihormati dan disokong. Jangan tunggu sesuatu menjadi viral baru mahu bertindak. Kita perlu kembali kepada asas, iaitu mendidik dengan nilai dan menjaga dengan hati,” tegasnya.
































