TOKYO: Robot haiwan peliharaan berteknologi kecerdasan buatan (AI) semakin popular di Jepun kerana mampu membentuk personaliti tersendiri berdasarkan cara ia dipelihara.
Menurut Utusan Malaysia, Kyodo News melaporkan, robot dinamakan Moflin, ciptaan Casio Computer itu mampu mempamerkan lebih daripada empat juta jenis personaliti berbeza dan mengenal pasti individu yang paling kerap berinteraksi dengannya sebagai pemilik.
Ia akan belajar secara beransur-ansur mengenai keinginan pemilik melalui belaian dan pelukan.
Projek itu bermula apabila seorang jurutera membawa prototaip yang direka untuk meniru kecomelan robot haiwan itu.
Casio melancarkan Moflin pada November lalu dan berjaya melepasi sasaran jualannya, dengan lebih 7,000 unit terjual menjelang Mac.
Robot tersebut sangat popular dalam kalangan wanita berusia lewat 30-an dan 40-an.
Menurut ketua pasukan pembangunan, Erina Ichikawa, sesetengah pengguna bahkan membawa Moflin keluar bersiar.
“Orang ramai dapat merasakan Moflin berbeza dengan Moflin orang lain, kerana robot ini seperti haiwan, menunjukkan personaliti dan emosi tersendiri, selain membesar dan mempunyai kitaran tidur berbeza,” kata Ichikawa.
Setiap robot dijual pada harga 59,400 yen (RM1,723) dan Casio turut menawarkan perkhidmatan tambahan, termasuk salon khas untuk membersih dan menyisir bulu robot tersebut.
































