PETALING JAYA: Perintah Gaji Minimum 2024 berkuat kuasa hari ini melibatkan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja dan tidak menjalankan aktiviti profesional yang diklasifikasikan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Masco) 2020.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan, majikan yang gagal mematuhi kadar gaji minimum boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap pekerja, jika disabitkan kesalahan.
“Kesuma turut menyeru agar semua majikan mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan gaji minimum yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut berkuat kuasa adalah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2025, sekali gus memperluaskan pelaksanaan gaji minimum kepada golongan pekerja kontrak perantisan.
Pindaan tersebut ditetapkan mula berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Katanya, langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan dan kebajikan pekerja merangkumi semua kategori, termasuk perantis.
“Kontrak perantisan merujuk kepada individu yang diambil bekerja dan dilatih secara sistematik dalam satu bidang kemahiran oleh seorang majikan, dengan tempoh latihan antara enam hingga 24 bulan. Sepanjang tempoh itu, perantis terikat untuk bekerja dengan majikan berkenaan.
“Kesuma merakamkan penghargaan kepada majikan yang lebih awal melaksanakan pembayaran gaji minimum kepada pekerja kontrak perantisan. Bagi majikan yang membayar lebih tinggi daripada kadar minimum, Kesuma mengingatkan bahawa kadar tersebut tidak boleh dikurangkan,” katanya.
































