Anwar Ibrahim menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. – Foto PMO
PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja hari ini mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, di sini.
“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala (normalcy),” katanya.
Terdahulu, Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua wakil negara itu yang bermula pada pukul 3.15 petang sebelum berakhir kira-kira dua jam kemudian.
Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan utara Kemboja.
Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei, susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan kematian seorang anggota tentera Kemboja.
Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.
Sehingga Sabtu lalu, jumlah kematian akibat konflik panjang antara Thailand dan Kemboja meningkat kepada 33 orang.
































