Anwar Ibrahim
JAKARTA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlepas ke Indonesia petang ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto, yang merupakan sesi pertama bagi kedua-dua pemimpin.
Menurut Utusan Malaysia, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, rundingan tahunan ini adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan komprehensif.
Kata beliau, sejak pelaksanaannya pada tahun 2006 secara bergilir antara kedua-dua negara, rundingan tahunan ini mencerminkan komitmen politik yang kukuh untuk mempererat kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan serta pendidikan.
“Kedua-dua pemimpin turut dijangka bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan hasil daripada Rundingan Tahunan Ke-13 ini
“Kali terakhir Rundingan Tahunan diadakan ialah pada tahun 2017, menjadikan rundingan kali ini satu peluang penting untuk mempertingkat hubungan strategik serta meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa,” katanya di sini.
Syed Mohamad Hasrin berkata, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan upacara pertukaran empat memorandum persefahaman (MoU) dalam sektor sempadan darat, bidang kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam lawatan ini, Perdana Menteri turut dijadual mengadakan lawatan ke Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn.
“Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucapan dasar mengenai ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025, sekali gus menzahirkan komitmen berterusan Malaysia terhadap integrasi serantau dan usaha pembinaan Komuniti ASEAN,” katanya.
Pada tahun 2024, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan yang kedua terbesar dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN.
Perdagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus daripada RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion) pada tahun 2023 kepada RM116.29 bilion (AS$25.5 bilion) pada tahun 2024.
































