Masiung Banah
KOTA KINABALU: Dakwaan liar pembangkang yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor meluluskan lesen arang batu seluas 70,000 hektar kepada sebuah syarikat didedahkan sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, pembangkang kini semakin terdesak dengan menyebarkan fitnah dan cerita palsu demi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
“Rakyat Sabah berhak mendapat maklumat tepat dan fakta yang sahih, bukan naratif palsu yang disebarkan melalui media berbayar pro-pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Agung Tahunan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelmarin.
Masiung, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, menjelaskan bahawa tuduhan kononnya Hajiji meluluskan projek cari gali kepada syarikat Bumi Suria Sdn Bhd adalah fitnah semata-mata, tanpa sebarang bukti dokumen rasmi.
“Mereka hanya bergantung kepada rakaman suara yang tidak terbukti kesahihannya. Tiada satu dokumen pun membuktikan bahawa Datuk Seri Hajiji terlibat dalam sebarang salah guna kuasa berkaitan projek tersebut,” tegasnya.
Menurut beliau, surat bertarikh 21 Mei 2024 yang dijadikan ‘bukti’ oleh pembangkang hanyalah satu cadangan awal bersyarat dan bukannya kelulusan muktamad.
Masiung turut mendedahkan bahawa dokumen tersebut dibocorkan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) yang telah dipecat.
“Lebih penting, cadangan projek tersebut telah dibatalkan melalui surat rasmi yang ditandatangani oleh CEO baharu SMM, Natasha Sim, pada 24 Mac 2025,” katanya.
Tambah beliau, surat pembatalan itu membuktikan tuduhan pembangkang adalah tidak berasas dan bertujuan untuk memburukkan kepimpinan Hajiji di mata rakyat.
“Ahli Lembaga Pengarah SMM juga sebulat suara menolak cadangan carigali melibatkan kawasan seluas 70,000 hektar itu. Ini menunjukkan proses semakan dan tadbir urus projek dijalankan secara telus,” jelas Masiung lagi.
Beliau turut memetik kenyataan media oleh Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) yang juga Ketua Merinyu Galian Sabah, Datuk Bernard Liew Chan Min, sebagai bukti kukuh bahawa tiada lesen mencarigali pernah dikeluarkan kepada Bumi Suria Sdn. Bhd.
“Penjelasan Datuk Bernard telah merungkai segala fitnah yang cuba dimainkan oleh pembangkang melalui portal media mereka,” ujarnya.
Masiung menegaskan, rakyat Sabah harus menilai dengan bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan taktik pembangkang yang hanya mahu mencipta kekeliruan demi kepentingan politik sempit mereka.


































