Emmie Martin Idang
KOTA KINABALU: Ketua Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Martin Idang menggesa seluruh anggota sayap wanita muda parti agar terus berpegang teguh kepada prinsip kesetiaan dan disiplin organisasi dalam menghadapi suasana politik negeri yang semakin mencabar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurut Emmie, cabaran politik semasa khususnya dalam suasana ketidaktentuan di peringkat nasional menuntut agar Beliawanis tampil bukan sahaja sebagai penyokong, tetapi benteng utama yang mempertahankan kepimpinan dan kestabilan parti di bawah teraju Presiden Gagasan Rakyat merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kepimpinan seperti ini tidak lahir setiap hari. Ia terbentuk daripada pengalaman panjang, keikhlasan perjuangan dan keteguhan prinsip.
“Kita tidak boleh membiarkan fitnah dan usaha jahat dari dalam atau luar menggugat kestabilan yang kita bina bersama,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Beliawanis Gagasan Rakyat di sini, hari ini.
Dalam ucapan penuh bersemangat, Emmie turut mengingatkan bahawa tugas Beliawanis bukan sekadar bersuara, tetapi bergerak secara strategik sebagai penyampai dasar kerajaan, pembawa mesej yang benar dan pemerkukuh jaringan sokongan akar umbi.
“Beliawanis perlu menjadi perisai kepada kepimpinan, bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga menerusi tindakan yang berkesan dan berdisiplin,” tambahnya.
Mengulas isu keinginan sebahagian rakyat Sabah yang lantang mahukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo dalam PRN akan datang, Emmie menasihati agar semua pihak termasuk sayap parti terus menjunjung disiplin organisasi dan menghormati kebijaksanaan kepimpinan tertinggi dalam membuat keputusan.
“Kita bukan pembuat keputusan, tetapi penjunjung keputusan. Setiap langkah pimpinan bukan dibuat secara emosi tetapi atas pertimbangan dan kebijaksanaan seorang negarawan,” katanya sambil menzahirkan keyakinan penuh kepada kepimpinan Hajiji.
Beliau turut menyeru agar seluruh jentera Beliawanis berdiri teguh dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan semangat yang tinggi.
“Tugas kita adalah untuk berdiri teguh, menggalas amanah, dan terus melangkah seiring arahan dengan penuh iltizam dan kepercayaan kepada hikmah pimpinan,” katanya.
































