SOOK: Arus sokongan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus mendapat suntikan semangat apabila seramai 79 orang penduduk dari dua buah kampung di sini hari ini secara rasmi menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Daripada jumlah itu, 39 orang merupakan penduduk dari Kampung Batu 4 Biah manakala 40 orang lagi berasal dari Kampung Kapakaan, Mukim Dalit.
Majlis penyerahan borang keahlian berlangsung penuh semangat dan kebersamaan di Kampung Batu 4 Biah, di mana borang telah diserahkan oleh Saibin Gurau mewakili Kampung Kapakaan dan Alix Gikit mewakili Kampung Batu 4 Biah kepada Timbalan Presiden Star yang juga ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, .
Dalam ucapannya, Ellron menyatakan bahawa kemasukan ahli baharu ini bukan sekadar simbolik, tetapi manifestasi nyata kepercayaan rakyat kepada perjuangan Star dan Kerajaan GRS yang terbukti membawa hasil dan perubahan ketara kepada Sabah.
“Ini bukan satu angka yang kecil. Ini adalah gelombang kebangkitan rakyat di akar umbi yang semakin menyedari siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya pandai berjanji. Kerajaan GRS telah menunjukkan pencapaian demi pencapaian – bukan dengan kata-kata, tetapi dengan tindakan dan hasil yang dirasai rakyat sendiri,” tegas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa di bawah pimpinan GRS, pendapatan negeri terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
“Inilah beza antara kerajaan yang hanya tahu menabur janji, dengan kerajaan yang benar-benar memahami denyut nadi rakyat. Kita dalam GRS tidak menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kita memberi komitmen sepenuh hati dan bekerja untuk rakyat – dan hari ini, hasilnya jelas. Pembangunan semakin rancak, kebajikan rakyat luar bandar diberi perhatian, dan suara rakyat semakin kuat didengar,” ujar beliau.
Ellron turut menyeru rakyat Sabah agar tidak lagi termakan dengan janji-janji palsu daripada pihak tertentu yang hanya muncul sewaktu pilihan raya tetapi menghilang selepas itu.
“Rakyat Sabah sudah cukup matang. Mereka tahu menilai siapa yang ikhlas dan siapa yang hanya mahu mempergunakan. Sudah terlalu banyak janji ditabur oleh pihak lawan, tetapi tidak satu pun yang berhasil. Kini tiba masa kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat baharu bersama GRS dan Star,” tambahnya.
Beliau mengalu-alukan penyertaan kesemua ahli baharu ke dalam keluarga besar Star.
“Saya mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada semua ahli baharu. Bersama-sama kita perkukuhkan lagi perjuangan ini. Inilah masa untuk kita bangkit sebagai rakyat Sabah yang berwibawa, bermaruah dan berdaya saing. Kita bina masa depan yang lebih gemilang untuk generasi akan datang. Sabah bukan milik sesiapa, tetapi milik rakyat yang berani dan bersatu,” katanya disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh daripada hadirin.
































