Shigeru Ishiba
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dilaporkan akan mengumumkan peletakan jawatannya tidak lama lagi selepas kekalahan terbaharu pilihan raya menyebabkan gabungannya hilang majoriti di kedua-dua dewan Parlimen.
Menurut Utusan Malaysia, laporan menyatakan Ishiba sudah menyampaikan hasratnya untuk berundur kepada individu terdekat, susulan pengumuman perjanjian perdagangan AS-Jepun pada Rabu.
Kekalahan pada pilihan raya Dewan Negara Ahad lalu memberi tamparan hebat kepada Parti Demokratik Liberal (LDP) berhaluan tengah-kanan pimpinan Ishiba yang hampir tidak pernah putus memerintah sejak tahun 1955.
Pengundi yang marah dengan inflasi telah beralih kepada parti lain, terutamanya Sanseito yang berpegang kepada slogan ‘utamakan Jepun’, dengan agenda anti-globalisasi yang menyerupai gerakan populis di negara lain.
Ishiba merancang untuk melepaskan jawatannya selewat-lewatnya hujung Ogos, menurut akhbar Mainichi.
Akhbar Yomiuri pula melaporkan, beliau akan mengumumkan peletakan jawatannya dalam bulan Julai, namun tidak menyatakan tarikh sebenar beliau akan berundur.
Laporan-laporan ini juga menyebut, desakan agar beliau berundur semakin meningkat dalam kalangan LDP sejak keputusan pilihan raya diumumkan.
Namun beliau hanya menyampaikan keputusan itu selepas memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Washington yang berjaya menurunkan tarif ancaman sebanyak 25 peratus kepada 15 peratus, menjelang tarikh akhir 1 Ogos.
Dalam pilihan raya pada Ahad lalu, LDP dan rakan gabungannya Komeito gagal mempertahankan majoriti, ketinggalan tiga kerusi.
Ia berlaku hanya beberapa bulan selepas gabungan Ishiba kehilangan majoriti dalam Dewan Rendah yang lebih berkuasa, keputusan paling buruk bagi LDP dalam tempoh 15 tahun.
Ishiba memenangi jawatan Ketua Parti pada September lalu, dalam percubaan kelimanya dan menjadi Perdana Menteri ke-10 daripada LDP sejak 2000.
Sejak pilihan raya mengejut pada Oktober lalu, gabungan pemerintah terpaksa berunding dengan parti pembangkang untuk meluluskan sebarang undang-undang.
Selepas bertahun-tahun harga pengguna yang mendatar atau menurun, rakyat di negara ekonomi keempat terbesar ini semakin terhimpit akibat inflasi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Harga beras khususnya meningkat dua kali ganda dan kemarahan juga masih membara susulan skandal kewangan LDP.
“Saya benar-benar berharap keadaan di Jepun akan menjadi lebih baik, tetapi populasi semakin menyusut, dan saya rasa hidup di Jepun akan semakin sukar.
“Memang mengecewakan Jepun tidak boleh bertindak lebih tegas terhadap AS, tetapi saya rasa perjanjian tarif yang lebih rendah itu sesuatu yang baik,” kata seorang penduduk, Naomi Omura, 80, dari Hiroshima.
Sementara itu, seorang penduduk Tokyo, Tetsuo Momiyama, 81, pula berkata, waktu Ishiba sudah pun berakhir.
“Inilah masa terbaik untuk beliau berundur,” katanya.
































