Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang membabitkan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan dibentangkan sebaik mendapat persetujuan Jemaah Menteri.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasil laporan akhir kajian Pasukan Petugas Komparatif akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri bulan ini.
Katanya, laporan itu adalah hasil lawatan kerja dan kajian mendalam yang dijalankan ke beberapa negara, selain dapatan kajian perundangan dan kajian saintifik kemasyarakatan.
“Laporan akhir Pasukan Petugas Komparatif akan dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai ini. Selanjutnya, kajian akan diteruskan oleh Pasukan Petugas Teknikal yang akan meneliti aspek pelaksanaan pemisahan kuasa ini secara teknikal,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web rasmi Parlimen semalam.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai status pelaksanaan reformasi institusi dan cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta jangkaan pembentangan rang undang-undang berkaitan.
Menurut Azalina, cadangan pemisahan peranan tersebut telah dipersetujui secara dasar oleh Jemaah Menteri dan kini dalam fasa kajian peringkat kedua.
Katanya, terdapat dua pasukan petugas yang ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif dan Pasukan Petugas Teknikal bagi merangka pelaksanaan reformasi ini secara berperingkat.
“Pasukan Kajian Komparatif yang diketuai oleh saya sendiri telah melaksanakan tiga lawatan kerja ke Kanada, Australia dan United Kingdom bersama delegasi terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang, Majlis Peguam serta agensi berkaitan bagi mendapatkan gambaran amalan terbaik antarabangsa.
“Laporan interim telah disediakan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat serta JKPK Semakan Undang-Undang Dewan Negara merangkumi parameter dasar seperti pelantikan, kuasa, kebebasan serta kebertanggungjawaban,” ujarnya.
Selain itu, kajian doktrinal turut dijalankan melibatkan sembilan negara seperti India, Kenya, Afrika Selatan dan Hong Kong, manakala kajian saintifik kemasyarakatan pula mendapati pelbagai lapisan masyarakat menyokong pelaksanaan pemisahan peranan tersebut.
Tambah beliau, Pasukan Petugas Teknikal yang diketuai oleh Timbalan Menteri Undang-Undang kini sedang meneliti secara teknikal pelaksanaan pemisahan kuasa, dengan keanggotaan daripada BHEUU, Jabatan Peguam Negara, JPA, Kementerian Kewangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.
“Secara keseluruhannya, cadangan Rang Undang-Undang berkaitan kini sedang dimuktamadkan dan akan dibentangkan selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.
































