PETALING JAYA: Satu sindiket penipuan yang menyasarkan warga India untuk melayari siaran secara langsung kandungan lucah terbongkar selepas polis menahan 57 individu di sebuah premis perniagaan di Jalan Tun Razak di sini.
Menurut Utusan Malaysia, modus operandi sindiket yang aktif sejak tiga bulan lalu ini adalah dengan berselindung di sebalik sebuah syarikat berdaftar sebelum menggunakan satu platform laman sesawang yang menawarkan siaran secara langsung kandungan lucah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, individu yang berminat perlu menekan butang suka dan kongsi di platform tersebut sebelum diberikan akses secara percuma bagi waktu yang terhad.
Katanya, bagi mendapatkan akses yang lebih eksklusif, pengguna perlu membuat sejumlah bayaran dan mendapatkan keahlian.
“Setiap keahlian dikenakan bayaran bulanan yang berbeza iaitu RM 2.45 – RM 4.89 (50-100 Rupees) untuk keahlian asas diikuti RM 9.78 – RM 24.46 (200-500 Rupees) untuk keahlian premium dan RM 48,92 – RM97,84 (1,000-2,000 Rupees) bagi untuk keahlian ‘VIP’.
“Pembayaran tambahan juga dikenakan sekiranya pengguna gagal mematuhi syarat-syarat tertentu seperti kuantiti ‘like and share’ yang tidak mencukupi, menonton lebih daripada 10 video sehari dan untuk menonton video yang lebih premium,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pembayaran akan dibuat menggunakan platform dalam talian yang dikendali serta diuruskan oleh ahli sindiket itu.
“Pengguna juga dijanjikan pulangan dalam bentuk bitcoin dan mata ganjaran untuk video jangka masa panjang sekiranya membuat bayaran.
“Setelah bayaran dibuat, sindiket akan menyekat akaun pengguna. Pengguna juga diarahkan untuk membuat bayaran tambahan kononnya atas alasan mereka telah melanggar syarat yang ditetapkan.
“Bagaimanapun, setelah bayaran dibuat, sekatan terhadap akaun pengguna masih berterusan, malah sindiket tidak lagi dapat dihubungi,” jelasnya.
Rusdi berkata, keuntungan sindiket penipuan itu dianggarkan RM3,000 (61,200 Rupees) sehari selain RM60,000 (1,224,000 Rupees) sebulan dalam 20 hari bekerja.
Beliau berkata, sebanyak 58 komputer riba pelbagai jenis, satu telefon bimbit dan satu unit perakam suara dirampas.
“Kita telah menuduh di mahkamah enam daripada 57 individu yang ditahan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan pada 4 Julai lalu.
“Baki 51 individu yang lain dibebaskan atas arahan Timbalan Pendakwa Raya dan dijadikan saksi pendakwaan,” ujarnya.
































