Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melihat pengumuman khas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat, sebagai petunjuk kepada asas ekonomi negara yang kukuh di bawah Kerajaan Madani.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif berpaksikan rakyat itu kerana ia bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, bantuan sekali bayar sebanyak RM100 kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan, bersama peluasan Jualan Rahmah Madani ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri, merupakan langkah yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Beliau turut menyatakan bahawa penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, memenuhi aspirasi rakyat.
“Pengisytiharan malam sebelum Hari Malaysia (15 September) sebagai cuti umum merupakan satu pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari bersejarah itu untuk seluruh negara,” katanya.
































