Julita (empat dari kiri), Rina (tiga dari kiri), Chong (empat dari kanan) dan Jais (dua dari kiri) bersama tetamu kehormat serta peserta program.
KOTA KINABALU: Memperkukuh profesionalisme pekerja sosial serta membangunkan rangkaian sukarelawan yang lebih tersusun merupakan langkah penting dalam meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kebajikan dan memastikan bantuan sampai kepada masyarakat yang memerlukan, kata Datuk Julita Majungki.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat itu berkata pekerja sosial dan sukarelawan memainkan peranan yang saling melengkapi dalam menangani pelbagai cabaran sosial, khususnya melibatkan golongan rentan, keluarga dan komuniti yang memerlukan sokongan.
Beliau berkata bidang kerja sosial memerlukan pengetahuan khusus, latihan sewajarnya, kemahiran profesional serta pematuhan kepada etika kerja bagi memastikan bantuan yang diberikan bersesuaian dan berkesan.
“Penyampaian perkhidmatan sosial bukan sekadar memerlukan rasa prihatin dan niat yang baik. Ia turut menuntut pengetahuan profesional, kemahiran yang sesuai serta sistem sokongan yang terselaras bagi memastikan bantuan yang diberikan memberi impak bermakna dan berterusan,” katanya.
Julita yang juga Presiden Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) berkata demikian ketika merasmikan pelancaran Bulan Kebajikan dan Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menyentuh aspek kesukarelawanan, beliau berkata pendekatan yang lebih berstruktur diperlukan bagi memastikan sukarelawan mendapat bimbingan sewajarnya dan dapat menyumbang secara berkesan mengikut keperluan masyarakat setempat.
Beliau berkata platform seperti program MyCHAMPION di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia serta program sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh dimanfaatkan sebagai saluran bagi individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan yang lebih tersusun.
“Kesukarelawanan tidak seharusnya terhad kepada penyertaan sekali-sekala. Kita memerlukan rangkaian yang mampan, dengan sukarelawan diberikan bimbingan, sumbangan mereka diselaraskan dan kemahiran masing-masing dimanfaatkan secara berkesan,” katanya.
Julita berkata Bulan Kebajikan yang disambut sepanjang November bertujuan menggalakkan penyertaan lebih ramai anggota masyarakat dalam aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan.
Beliau berharap program-program yang dilaksanakan dapat meningkatkan keupayaan profesional serta memperkukuh kerjasama jangka panjang ke arah membangunkan sistem perkhidmatan sosial yang lebih berkesan dan inklusif di Sabah.
Turut hadir Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Rina Jainal; Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Maria Chong; serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Jais Asri.






























