SEMPORNA: Kesedaran mengenai kesejahteraan mental dan emosi serta kepentingan sokongan keluarga menjadi tumpuan Program Kasih Madani Daerah Semporna 2026 yang berlangsung di Dewan Sipadan, Majlis Daerah Semporna, semalam.
Program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sabah dengan kerjasama Majlis Daerah Semporna itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan dan sokongan keluarga kepada masyarakat setempat.
Antara perkhidmatan disediakan ialah pemeriksaan paras gula dalam darah dan kolesterol, perancangan keluarga, saringan Pap smear serta HPV/DNA, selain pendaftaran untuk ujian mamogram.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan khidmat kaunseling keluarga, perkhidmatan KafeTEEN dan advokasi Bual.
Forum mengenai kesejahteraan mental, emosi dan sokongan keluarga turut diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai peranan institusi keluarga dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.
Majlis perasmian program disempurnakan Ketua Pengarah LPPKN, Dato’ Abdul Shukur Abdullah.
Turut hadir Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Semporna Datin Saadiah Abdul Rashad; Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Semporna Datuk Dr Jasmin Julpin; serta ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Semporna.






























