PETALING JAYA: Seorang wanita warga Taiwan sedang dikesan polis berhubung dakwaannya telah diperas ugut oleh anggota polis ketika ditahan dalam sekatan jalan raya di SS2, di sini, pada 7 Julai lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada pihak Wisma Putra untuk mengesan wanita itu.
Menurutnya, pihaknya juga sudah merakam keterangan lima anggota yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan ketua polis sebuah balai di sini, yang juga pengadu susulan perkara itu tular di media sosial.
“Kami sedang berusaha menghubungi mangsa termasuk melalui bantuan Wisma Putra.
“Semua subjek kes dan ketua polis balai terbabit kami sudah ambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Sebelum ini, seorang wanita warga Taiwan mendakwa ditahan dan diperas ugut oleh sekumpulan anggota polis ketika melalui sekatan jalan raya di kawasan SS2, Petaling Jaya.
Mangsa yang menaiki kenderaan e-hailing bersama keluarganya dalam perjalanan ke pasar malam SS2 mendakwa telefon bimbitnya dirampas selepas secara tidak sengaja menekan butang rakam ketika mencari pasport untuk diperiksa anggota polis.
Wanita itu mendakwa diugut membayar sejumlah wang, telefon bimbitnya diperiksa termasuk akaun bank, dipaksa duduk berasingan daripada keluarga serta dilarang berhubung dengan sesiapa.
Dia turut mendakwa menjadi sasaran gangguan berbentuk godaan peribadi oleh anggota polis terbabit sebelum dibawa dengan kereta polis dan dibebaskan selepas menyerahkan wang kira-kira RM300.


































